中国国际广播电台
Disebabkan
kebudayaan dan tamadun China
sudah bersejarah selama
beberapa ribu tahun, maka
bahan peninggalan sejarah dan
warisan budaya di bawah tanah
China sangat banyak. Semenjak
bidang arkeologi diperkenalkan
di China pada abad ke 20,
banyak penemuan bahan purba
penting ditemui di China.
Di
Bandar Anyang Provinsi Henan
bahagian tengah China terdapat
satu tempat peninggalan
sejarah termasyhur Yinxu yang
bermakna runtuhan ibu kota
Dinasti Yin. Yinxu seluas
kira-kira 24 kilometer persegi.
Menurut catatan sejaran,
setelah Raja Dinasti Shang Pan
Geng memindahkan ibu kota
dinasti itu dari Qufu Shandong
ke situ, Yinxu terus merupakan
ibu kota Dinasti Shang selama
300 tahun. Yinxu merupakan
pusat politik, kebudayaan dan
ekonomi Dinasti Shang. Pada
tahun 1046 sebelum Masehi,
Raja Wu Dinasti Zhou
mengalahkan Raja Zhou, raja
terakhir Dinasti Shang dan
menggulingkan Dinasti Shang,
bandar ini menjadi kawasan
runtuhan. Memandangkan Dinasti
Shang juga dikenali sebagai
Dinasti Yin, maka tempat ini
dinamakan sebagai Yinxu.

(Tapak
peninggalan Yinxu)
Penemuan
Yinxu merupakan kejayaan besar
dalam bidang arkeologi di
China pada abad ke 20.
Semenjak tahun 1928, banyak
artifak termasuk barang
tembaga telah ditemui di Yinxu.
Salah satu penemuan yang
paling penting dalam sejarah
kaji purba dunia ialah
penemuan perkataan yang
dipahat pada kulit kura-kura
dan tulang binatang di Yinxu.
(Perkataan
yang dipahat pada kulit
kura-kura dan tulang binatang
yang ditemui di Yinxu)
Perkataan-perkataan
yang dipahat pada kulit
kura-kura dan tulang binatang
tersebut merupakan huruf purba.
Pada Dinasti Shang, raja mesti
melakukan penelahan sebelum
menjalankan perkara yang
penting. Kulit kura-kura dan
tulang binatang merupakan alat
untuk dilakukan penelahan.
Ahli
sihir lelaki yang mengawal
penelahan memahat namanya,
tarikh dan pertanyaan yang
dikemukakan pada kulit
kura-kura atau tulang binatang,
kemudian membakar tulang
tersebut dengan api. Rekahan
muncul pada tulang tersebut
setelah dibakar. Ahli sihir
lelaki yang mengkaji penaburan
rekahan tersebut dan mendapat
keputusan tentang pertanyaan
yang dikemukakan berdasarkan
penaburan rekahan tersebut dan
keputusan itu juga dipahat
pada tulang itu. Apabila
penelahan tersebut dibuktikan
selepas itu, tulang tersebut
disimpan sebagai arkib rasmi.
Sehingga
ini, sebanyak lebih 160 ribu
buah kulit kura-kura dan
tulang binatang yang dipahat
dengan perkataan-perkataan
telah ditemui di Yinxu.
Antaranya ada yang utuh dan
ada yang hanya merupakan
serpihan. Menurut kajian,
jumlah perkataan yang dipahat
pada tulang-tulang tersebut
berjumlah lebih 4 ribu buah,
lebih 3 ribu perkataan
antaranya telah dikaji oleh
pakar arkeologi, manakala
perkataan yang diketahui
ertinya berjumlah lebih seribu
buah. Menerusi lebih seribu
buah perkataan tersebut, pakar
arkeologi telah mengetahui
keadaan umum tentang politik,
ekonomi, kebudayaan dan lain-lainnya
pada zaman Dinasti Shang.
Karya
ilmiah khusus untuk mengkaji
perkataan-perkataan yang
dipahat pada kulit kura-kura
dan tulang binatang yang
paling awal bertajuk "Kulit
Kura-kura" ditulis oleh
Liu E pada tahun 1913.
Manakala "Penyelidikan
Perkataan-perkataan Yang
Dipahat Pada Kulit Kura-kura
Dan Tulang Binatang" yang
ditulis oleh ahli sejaran dan
sasterawan China yang terkenal
Guo Moruo pada tahun 1929
merupakan karya ilmiah yang
penting dalam bidang
pengkajian perkataan-perkataan
yang dipahat pada kulit
kura-kura dan tulang binatang.
Pada masa ini, Profesor Qiu
Xigui dari Universiti Peking
dan Profesor Li Xueqin dari
Institut Penyelidikan Sejarah
China merupakan pakar pengkaji
perkataan-perkataan yang
dipahat pada kulit kura-kura
dan tulang binatang yang
paling ternama di China.
Selain
perkataan-perkataan yang
dipahat pada kulit kura-kura
dan tulang binatang, banyak
artifak lain juga telah
ditemui di Yinxu. Dalam masa
lebih 70 tahun, lebih 50 buah
runtuhan istana diraja, rumah
berhala dan bangunan-bangunan
lain, 12 buah makam raja atau
anggota keluarga diraja,
ribuan buah kubur bangsawan
dan rakyat jelata, 5 buah
bengkel dan lebih 30 buah
makam yang dikebumikan dengan
kuda dan pedati telah ditemui
di Yinxu, sejumlah besar
tembaga, jed, tembikar dan
tulang telah dikeluarkan
daripada tempat-tempat
peninggalan sejarah tersebut.
|